RAYA 2024: Radiate Eid elegance in our bespoke Hari Raya Dresses – where tradition meets haute couture flair!

Your cart is currently empty.

RuffRuff App RuffRuff App by Tsun

Hukum Suami Mengaku Bujang. Adakah Jatuh Talak?

March 2022 | Azhar Azmi

SOALAN:

Adakah jatuh talak kepada saya sekiranya suami saya mengaku yang dia bujang kepada rakan-rakannya? Mohon Pencerahan.


JAWAPAN:

Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Sighah Sarih

Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah.

Kalimah-kalimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talak.

Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Kedua: Sighah Kinayah

Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa.

Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak.

Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.”

Dalam kes diatas, suami yang mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

  1. Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
  2. Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
  3. Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
  4. Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

Begitulah seterusnya.

 

KESIMPULAN

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak.

Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripada sebarang kekeliruan.

 

Wallahua’lam.

Sumber:https://muftiwp.gov.my

Translation missing: en.general.search.loading