- Total RM0.00 MYR
Siapakah suami di Akhirat jika isteri berkahwin lebih dari seorang di dunia?
Semua wanita sayang kepada suami mereka lebih dari segalanya dan sudah pasti mahu bersama suami di syurga kelak. Betapa sayangnya sehingga keluar ungkapan “Semoga kita berbahagia hingga ke akhir hayat” atau "I love you till Jannah".
Namun bagaimana suami yang anda sangat disayangi itu pergi terlebih dahulu meninggalkan anda? Adakah anda akan terus menjadi balu sehingga ke akhir hayat? Mungkin ada wanita yang sanggup menjanda sehingga ke akhir hayat semata-mata ingin bersama suami di syurga, namun tidak semua yang mampu berbuat demikian.
Ditakdirkan Allah anda akan bertemu jodoh malah anda juga kini sangat menyayanginya sepertimana suami yang terdahulu. Berlaku juga seperti dahulu, suami pergi juga meninggalkan anda. Maka anda bertemu lagi jodoh baru dan juga menyayanginya. Jadi siapakah yang akan menjadi pasangan anda di syurga kelak?
Siapakah suami di Akhirat jika isteri berkahwin lebih dari seorang di dunia?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALAN
Andainya seorang wanita berkahwin dengan lebih dari seorang suami di dalam dunia, maka di akhirat nanti siapakah yang akan menjadi suaminya?
JAWAPAN
Sebahagian ulamak berkata jika ada bagi seorang perempuan dua orang suami atau lebih di dalam dunia maka di dalam syurga nanti yang akan menjadi suaminya adalah yang paling baik dengan isterinya.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. katanya:
Ada wanita dikalangan kami yang berkahwin dengan dua orang suami dan ada yang tiga dan ada yang empat kemudian dia meninggal dunia dan masuk akan syurga dan masuk juga semua suaminya ke dalam syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya dari mereka itu?
Sabda Nabi saw: Wahai Ummu Salamah sungguhnya dia akan membuat pilihan maka dia akan memilih yang paling baik akhlaknya.”(Riwayat At-Tabarani pada kitab Mu’jam Awsath)
Dan sebahagian ulama berkata yang akan menjadi suaminya ialah yang paling akhir berkahwin dengannya.
Diriwayatkan daripada Abu Dard’ r.a. Nabi saw bersabda:
Mana-mana perempuan yang matilah suaminya kemudian dia kahwin akan suami yang lain maka perempuan itu adalah bagi suaminya yang terakhir itu.”
(Hadith At-Tabarani)
Dan diriwayatkan dari Huzaifah r.a. berkata ia bagi isterinya:
Jikalau kamu suka aku menjadi suamimu di dalam syurga maka jangan kamu berkawhin selepas kematianku maka sungguhnya isteri di dalam syurga itu bagi suaminya yang terakhir di dalam dunia.”(Kitab Qasashul Anbiya’ Ibnu Kathir)
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
KESIMPULAN
Untuk itu, kami rumuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini:
- Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
- Isteri tersebut diberi pilihan untuk memilih.
- Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.
Kesimpulannya, setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga.
Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kita dan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak.
Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di Akhirat kelak.
Amin.