OCTOBER OHSEM is happening now! One lucky winner will receive a FREE COMPLETE WEDDING DRESS RENTAL PACKAGE. Click Here for more info.

Your cart is currently empty.

7 Soalan WAJIB Wanita Patut Tanya Pada Bakal Suami

August 2022 | Azhar Azmi

Sebelum membuat perancangan untuk berkahwin, seorang wanita itu perlu bertanya beberapa soalan kepada bakal suami. Soalan ini bukanlah untuk menguji lelaki namun lebih kepada kesedaran terhadap tanggungjawab lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga.

Ingat ya, bercinta bukan soal untuk jiwang-jiwang sahaja. Perlu lihat masa depan dengan lebih teliti. Sudah-sudahlah mabuk kepayang tak tentu hala. Sekarang masa untuk fikir soal masa depan anda, dia dan bakal anak-anak.

7 Soalan WAJIB Wanita Tanya Pada Bakal Suami

 

1. Selepas kahwin nanti kita nak tinggal di mana?

Bagi pasangan muda, ada yang masih belum memiliki rumah sendiri. Hendak menyewa pula kewangan macam antara mampu dengan tidak. Akhirnya terpaksa menumpang di rumah ibu bapa. Jadi anda dan si dia perlu bincang mengenai hal ini secara serius. Jangan ambil mudah. Menyewa ke, tinggal sebumbung dengan mentua ke. Fikir betul-betul. Jangan timbul masalah kemudian hari.

 

2. Bila ada anak, siapa yang akan menjaga anak itu nanti?

Hal ini perlu difikirkan bersama. Jika anda berdua bekerja, jadi siapa yang akan jaga anak itu ketika anda berdua keluar bekerja. Adakah hantar kepada pengasuh? Adakah hantar ke taska? Kalau hantar ke pengasuh dan taska, siapakah yang akan bayar? Mampukah hendak keluar bajet RM300 sebulan untuk taska? Atau mungkin hantar kepada ibu bapa sendiri untuk dijaga. Mungkin juga anda buat keputusan untuk berhenti kerja dan tumpu kepada anak. Jika begitu, apakah perancangan dari segi kewangan? Kena fikir.

 

3. Bagaimana cara kita uruskan perbelanjaan keluarga?

Memang bab perbelanjaan keluarga sepatutnya ditanggung oleh suami. Namun pada hari ini, ada lelaki yang kurang berkemampuan dan isteri perlu sama-sama membantu dari segi kewangan keluarga. Jadi bahagi siap-siap suami komitmen apa, isteri pula komitmen apa. Misalnya suami bayar ansuran kereta dan sewa rumah. Isteri pula bayar segala bil utiliti.

 

4. Apa tanggungjawab seorang suami dan apa pula tanggungjawab seorang isteri?

Keindahan masa bercinta boleh hilang sekelip mata jika bab tanggungjawab ini tidak diselesaikan awal-awal. Masa bercinta anda tidak kenal 100 peratus pun orang yang anda sayang itu. Selepas kahwin barulah anda nampak siapa dia sebenarnya. Anda berdua sudah saling kenal dan tahu rutin harian si dia. Jadi senarai siap-siap tanggungjawab masing-masing. Sebagai contoh, misalnya suami kena buang sampah setiap hari. Isteri pula tanggungjawabnya menyediakan makan malam. Jadi masing-masing sudah ada kerja sendiri.

 

5. Siapa yang akan buat keputusan dalam perkahwinan kita?

Memang suami ialah ketua keluarga. Namun isteri pun ada hak untuk buat keputusan. Jadi bahagikan siap-siap apa isu yang suami perlu buat keputusan dan apa isu yang isteri boleh buat keputusan. Senang, kan?

 

6. Bagaimana cara terbaik untuk didik anak-anak kita nanti?

Ramai pasangan yang bergaduh sebab tak setuju tentang apa yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah swasta? Sekolah antarabangsa atau sekolah agama? Ada orang yang rasa memang patut bekerja keras dan berhabis duit untuk hantar anak ke sekolah yang dirasakan terbaik tapi ada juga yang rasa sekolah biasa pun sudah memadai. Selain itu, bincangkan juga bagaimana anda patut ajar anak-anak tentang agama nanti dan bagaimana nak capai matlamat sebuah keluarga.

 

7. Ada apa-apa isu kesihatan yang patut diketahui?

Bab kesihatan ini selalu diambil mudah. Ada orang yang muda-muda sudah ada diabetes. Sudah ada darah tinggi. Jadi sanggupkah anda berdepan dengan masalah sedemikian kerana penyakit ini mempengaruhi kebolehupayaan seseorang untuk hamil. Jika ada lain-lain penyakit pun kena maklumkan supaya si dia boleh berjaga-jaga dan set minda dengan betul mengenai tahap kesihatan pasangannya.

 

KESIMPULAN

Walaupun ramai orang yang selalu anggap perkahwinan sebagai kemuncak cinta setelah sekian lama berkenalan, sebenarnya terdapat banyak lagi sebab seseorang menerima perkahwinan.

Ada yang kahwin sebab cinta, ada yang berkahwin sebab ditekan oleh orang tua, ada yang berkahwin sebab harta, ada yang kahwin sebab keturunan, ada yang kahwin sebab sunyi, ada yang berkahwin sebab rasa usia dah lanjut, dan macam-macam lagi.

Apa pun sebab anda, anda harus sedar yang perkahwinan adalah komitmen sepanjang hidup, jadi pemilihan pasangan yang betul adalah urusan serius. Pastikan anda pilih dengan sebaiknya supaya tak menyesal di kemudian hari.

 


Kepada sahabat-sahabat yang masih menanti jodoh, memang benar jodoh dan pertemuan itu sudah tertulis. Namun, adakah anda telah berusaha untuk mencari? Mungkin jua anda buntu di mana, bagaimana. Sudah ramai pasangan yang bertemu jodoh di Baituljannah.com.

Jadi salah seorang daripada mereka yang sudah mendaftar. Siapa yang tahu, mungkin anda akan bertemu jodoh di sana.

Translation missing: en.general.search.loading