RAYA 2024: Radiate Eid elegance in our bespoke Hari Raya Dresses – where tradition meets haute couture flair!

Your cart is currently empty.

10 Dugaan Besar Semasa Bertunang dan Tips Hadapi Putus Tunang

September 2022 | Azhar Azmi

Bertunang bukanlah suatu perkara yang mudah, banyak perkara yang perlu dijaga. Ianya bukan sahaja melibatkan batas pergaulan, tetapi juga hati dan perasaan kedua-dua belah pihak.

Tatkala kita mengimpikan kebahagiaan dalam berumah tangga bersama bakal pasangan, ujian datang bertimpa-timpa dalam pelbagai bentuk yang menguji kesabaran dan kesetiaan masing-masing.

Ini baru permulaan dalam pertunangan, belum lagi masuk ke alam perkahwinan. Masing-masing perlu ada sifat saling memahami dan kesabaran yang tinggi.

Dugaan Bertunang - Featured Image

Sumber: @touchskillphotography

Andai ujian ini tidak dapat dilalui dengan baik, ianya akan kecundang dan putus di tengah jalan. Maka amatlah pilu jika keputusan yang akan diambil adalah “putus tunang”.

 

10 Dugaan Besar Semasa Bertunang dan Tips Hadapi Putus Tunang

 10 Dugaan Besar Semasa Bertunang dan Tips Hadapi Putus Tunang
Photo by Pixabay from Pexels

 

Apabila tempoh pertunangan telah ditetapkan mengikut sekian waktu, memang tak hairanlah jika dugaan datang melanda. Bak kata orang tua-tua, waktu inilah mereka ‘berdarah manis’ dan mudah ditimpa dugaan.

Di sinilah hikmahnya Islam tidak menggalakkan tempoh pertunangan yang terlalu lama dan dilambatkan tanpa sebab yang relevan. Sebagai ibu bapa, kita juga perlu sedar bahawa syaitan sentiasa bersedia dari setiap penjuru untuk memulakan misi ‘mencucuk jarum’.

Sepanjang tempoh pertunangan, pelbagai perkara boleh berlaku akibat salahtanggapan atau bisikan hawa nafsu yang merajai diri.

 

10 Dugaan Besar Semasa Bertunang

 

Ini adalah antara cabaran yang perlu dilalui oleh mereka yang sedang menunggu tarikh keramat, iaitu hari pernikahan.

 


Photo from Pexels

10. Pengaruh Media Sosial

Sudah menjadi trend sekarang, semua life story akan dimuat naik dalam laman media sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatsApp dan sebagainya. Perkara ini adakalanya membawa kebaikan tapi adakalanya membawa keburukan.

Sebagai contoh, jika teman sering muat naik gambar hadiah-hadiah mahal dari pasangannya, tapi kita sendiri tahu pasangan kita tidak mampu untuk memberi hadiah mahal pada kita.

Ini akan membuatkan perasaan cemburu timbul dalam diri, dan kita akan merasakan pasangan kita tidak memenuhi apa yang kita inginkan. Namun begitu dugaan ini lebih teruk apabila membandingkan pasangan kita dengan orang lain.

 

9. Selesa Hidup Bujang

Kadangkala ada pasangan apabila telah bertemu bakal pasangan hidup tetapi masih merindukan kehidupan di zaman bujang. Ini adalah kerana mereka rasa kebebasan mereka seolah-olah dikawal oleh pasangan.

Semasa di zaman bujang mereka bebas untuk bergaul dan berkawan dengan sesiapa sahaja. Manakala selepas diikat tali pertunangan, mereka terpaksa menghadkan pergaulan mereka semata-mata untuk menjaga hati pasangan hidup pilihan yang mereka cintai.

 

8. Takut Pada Komitmen

Tidak dinafikan apabila semakin dewasa, banyak komitmen perlu difikirkan! Bila dah jadi tunangan orang, perlu fikir perkahwinan yang akan datang pula. Perkara sebegini yang merungsingkan jiwa setiap pasangan.

Kebanyakan mereka terlalu takut komitmen dan tanggungjawab yang akan dipikul apabila bergelar suami atau isteri. Komitmen dari segi kewangan, memberi nafkah zahir dan batin, layanan pada pasangan dan pelbagai aspek lagi. Ianya tidak sama seperti bujang.

 

7. Bimbang Tentang Masa Hadapan

Kebanyakan pasangan yang bercinta hanya memandang keindahan dalam perhubungan. Tetapi ada juga pasangan yang memandang jauh tentang pelayaran bahtera cinta mereka sehingga ada yang bimbang tentang masa depan dalam perhubungan mereka.

Adakah mereka akan selamat belayar di pelabuhan atau hubungan mereka akan karam di tengah lautan akibat dilanda ribut hingga putus di tengah jalan? Antara faktor yang membimbangkan mereka adalah seperti kestabilan ekonomi mereka.

Semasa bujang mereka hanya fikir tentang diri sendiri, tapi bila dah berumah tangga nanti, gaji yang ada terpaksa berkongsi bersama pasangan pilihan hati mereka.

Itu yang menjadikan mereka bimbang, adakah mampu untuk hadapi ujian susah senang bersama atau tidak? Faktor keserasian juga bermain dalam fikiran, sama ada pasangan mereka akan setia sehidup semati bersama sehingga ke hujung hayat mereka.

Baca: 7 Soalan WAJIB Wanita Patut Tanya Pada Bakal Suami

 

6. Risau Pasangan Akan Berubah Selepas Kahwin

Bila bercinta, semuanya nampak manis belaka. Ibarat pijak semut tak mati. Bila dah berkahwin, benda kecil pun boleh jadi gaduh besar. Perkara ini bermain dalam fikiran setiap pasangan. Janganlah anda terlalu risau sehingga takut nak kahwin dengan si dia! Tanamkan dalam diri dan hati masing-masing untuk sentiasa positif!

Baca: 9 Rahsia Rumah Tangga Bahagia Untuk Pasangan Baru Berkahwin

 

5. Pasangan Panas Baran

Dapat pasangan panas baran? Minta dijauhkan. Tapi kalau dah jodoh nak buat macam mana? Kalau dua-dua bersifat panas baran, alamak susah pula nak kawal emosi tu nanti! Sebaiknya bila anda dapat pasangan panas baran ini, anda perlu banyakkan bersabar selagi tidak mendatangkan mudarat.

Jangan pula bila pasangan anda tengah marah, anda lagi buat perangai menambahkan kemarahan dia. Anda perlu bijak layan emosinya dengan baik. Tegur dengan nada suara lembut supaya dia akan tenang.

 

4. Pasangan Kuat Cemburu

Sifat cemburu ini memang normal pada setiap orang. Tapi janganlah terlalu kuat cemburu. Bila cemburu tidak bertempat akan membuatkan pasangan rasa terkongkong. Si lelaki jangan pula melayan kawan perempuan melebih-lebih pula, jaga batas pergaulan itu.

Walaupun cuma sekadar rakan sekerja. Untuk perempuan pula, janganlah anda terlalu berfikiran negatif sampai timbul rasa cemburu meluap-luap. Cemburu itu tandanya sayang, tapi jangan sampai cemburu buta yang akan mengeruhkan hubungan. Kawal sifat cemburu ini dengan tenang!

 

3. Rasa Kurang Percaya

Cincin batu sudah disarungkan, tanda anda sudah menjadi tunangan orang! Kepercayaan adalah tunjang utama dalam sebuah perhubungan.

Sematkan rasa kepercayaan anda pada pasangan. Fikirkan bahawa si dia adalah pasangan yang setia mencintai anda! Buangkan rasa ragu-ragu dalam diri demi kebahagiaan anda bersama si dia yang tercinta.

 

2. Pasangan Kedekut & Berkira

Dapat pasangan kedekut dan berkira ini sangat tidak tenteram. Kalau keluar dengannya pasti akan berkira-kira nak beli makanan atau barang. Untuk anda yang kedekut dan berkira, buangkanlah sifat buruk ini jauh-jauh.

Sesekali belanja apa yang pasangan anda inginkan. Bila buah hati anda rasa bahagia, sudah tentu anda pun gembira! Kalau dapat pasangan jenis berkira ini, banyakkan bersabar.

 

 10 Dugaan Besar Semasa Bertunang dan Tips Hadapi Putus Tunang
Photo from Pexels

1. Pasangan Tawar Hati & Berubah Fikiran

Hati manusia memang boleh berubah-ubah dalam sekelip mata sahaja. Bila diikat sebagai tunangan orang, ujian hati sering menyapa. Sampai kadang-kadang mata sudah mula nampak orang lain lebih baik dan lebih cantik atau tampan dari tunang kita sendiri! Hati-hati bila ada rasa macam ini dalam diri. Banyakkan bersabar kerana ini hanyalah pancaroba sahaja! Kelak anda menyesal jika membuat keputusan putus tunang disebabkan sudah tawar hati!

Baca: Punca Pasangan Semakin Tawar Hati Dalam Perkahwinan

 

Tips Hadapi Putus Tunang

 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNYA. Jodoh pertemuan di tangan Allah. Memang berat rasanya jika dilanda ujian putus tunang. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Bila diri dibelenggu masalah putus tunang ini, emosi dan tekanan perasaan akan menghantui jiwa.

Di sini dinyatakan beberapa tips untuk hadapi putus tunang. Pertama sekali, banyak dekatkan diri pada Allah, seperti berdoa, zikir, solat hajat, taubat dan merintih merayu pada Allah supaya diberikan kekuatan hati untuk redha bahawa dia bukan jodoh kita lagi.

Andai kata perhubungan ini diteruskan, pasti membuatkan diri merana jika berkahwin dengannya kelak. Takut menjadi mangsa pukul oleh pasangan sendiri, lebih baik putus sahaja. Tapi, jika anda merasakan pasangan anda baik hati dan boleh bahagiakan anda selamanya, buatlah solat istikharah moga diberi petunjuk. Tuhan penentu segalanya. Andai dirinya memang jodoh terbaik buatmu, ianya akan hadir semula walaupun telah putus.

Selain itu, jangan banyak menyendiri atau termenung sendirian. Ini akan membuatkan anda rasa rindu dan teringat-ingat akan bekas tunang anda itu. Buang segala gambar kenangan manis bersamanya supaya tidak lagi terbayang-bayang wajahnya di mata.

Sibukkan diri dengan buat pelbagai aktiviti seperti keluar dengan kawan-kawan atau bercuti bersama keluarga. Ingatlah, walaupun anda kehilangan si dia, tidak bermakna hidup anda kosong. Anda masih ada sahabat dan keluarga yang amat menyayangi dan memerlukan anda dalam hidup mereka.

Jangan disebabkan ujian sebegini, anda terlalu sedih dan menyalahkan takdir. Kuatkan diri, kerana kita bukan sendirian, Tuhan ada sentiasa di sisi kita. Sentiasa baca ayat-ayat positif dan dengar ceramah agama untuk bangkitkan semangat anda kembali.

Yang terakhir, jangan serik untuk bercinta lagi. Berilah ruang hati dan perasaan supaya dilamun cinta lagi. Jangan takut untuk terima orang lain, mungkin yang akan datang adalah jodoh terbaik buatmu! Siapalah kita untuk menolak takdir Allah. Kita merancang tapi DIA sebaik-baik perancang. Buatlah solat istikharah selalu, supaya sentiasa diberi petunjuk.

Jangan dikenang kisah lama kerana ia menyakitkan. Pandanglah ke depan, jalan dengan yakin dan katakan pada diri sendiri, "Ya! aku mahu kebahagiaan! Mahu ada keluarga sendiri seperti orang lain, dan aku akan move on dari kisah lama itu".

 

via GIPHY

 

Anggaplah semua yang terjadi bersebab, dan ada hikmah disebaliknya. Semoga hati yang terluka akan terubat selepas ini. Ujian bertunang datang menyapa tanpa diduga, lumrah hidup di dunia, banyak pancaroba kena lalui. Sedangkan suami isteri pun boleh bercerai, ini kan pula hanya bertunang.

Kita tidak perlu takut untuk bertunang, bukan semuanya buruk belaka. Ada juga kebaikan bertunang ini. Kita akan bercinta dengannya, di situ kita akan mengenali perangai si dia, sifatnya, benda kesukaannya, kejujuran dan kesetiaan dia pada kita. Bertunang merupakan proses mengenali hati budi.

Bukan kenal hati dia sahaja, kita akan mengenali hati keluarganya juga. Kita akan dapat lihat sama ada kita mempunyai keserasian atau tidak untuk mendirikan rumah tangga bersamanya kelak.

 

KESIMPULAN

 

PERANCANGAN ALLAH YANG LEBIH HEBAT

Sebenarnya, sebagai orang Islam, kita perlu percaya bahawa semua dugaan semasa bertunang yang datang ini adalah daripada Allah, sebagai ujian kepada hambaNya. Sebagaimana dalam firmanNya:

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan, serangan penyakit, serta digoncangkan dengan ancaman bahaya musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah seseungguhnya pertolongan itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh pada agama allah.”

Al-Baqarah:214

Oleh itu, walau apa pun dugaan semasa bertunang yang terjadi, kita harus sentiasa redha dan meminta pertolongan daripada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui akan sesuatu yang tidak kita ketahui.

Di samping itu, berusahalah mendekatkan diri dengan Allah sebelum kita menjejakkan kaki dalam alam rumah tangga, sebagai persediaan menjadi ketua dan pembimbing kepada institusi kekeluargaan yang bakal didirikan.

Walau sehebat mana perancangan kita, Allah lebih mengetahui akan sesuatu yang terbaik buat hambaNya.

Translation missing: en.general.search.loading