RAYA 2024: Radiate Eid elegance in our bespoke Hari Raya Dresses – where tradition meets haute couture flair!

Your cart is currently empty.

5 Langkah Ujian Saringan Hiv Pra Perkahwinan Yang Bakal Pengantin Perlu Tahu

August 2022 | Azhar Azmi

Dalam melengkapkan persiapan bagi sesebuah perkahwinan, terdapat beberapa frasa dan prosedur yang wajib dilakukan oleh kedua-dua bakal mempelai. Tak kiralah persiapan majlis ataupun proses permohonan pra perkahwinan semuanya harus diambil kira.

Jika tidak impian anda untuk bergelar raja sehari mungkin akan mengalami masaalah. Antara perkara wajib bagi permohonan perkahwinan di Malaysia adalah Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan. Ujian HIV ini harus dilakukan sebelum menyerahkan dokumen-dokumen permohanan perkahwinan di Jabatan Agama daerah masing-masing.

Di sini kami akan kongsikan langkah demi langkah untuk melakukan Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan. Tak cukup dengan itu jawapan bagi soalan-soalan lazim berkaitan ujian ini turut diselitkan sebagai rujukan dan memudahkan lagi urusan anda dan pasangan.

 

5 LANGKAH UJIAN SARINGAN HIV PRA PERKAHWINAN YANG BAKAL PENGANTIN PERLU TAHU

Ujian Saringan Hiv Pra Perkahwinan Yang Bakal Pengantin Perlu Tahu

Apa Itu Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan


Bagi yang belum familiar pasti anda tertanya-tanya apa itu Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan bukan? Apakah prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia? dan kenapa setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani ujian ini?

Pertama sekali jom kita kaji apa itu HIV. HIV adalah sejenis virus yang dipanggil Human Immunodeficiency Virus, atau ia juga dikenali sebagai Virus Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit dalam Bahasa Melayu.

Menurut kajian virus ini ternyata sangat bahaya kerana ia dipercayai dapat memusnahkan sistem imunisasi badan manusia serta menyebabkan pesakit terdedah kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, AIDS dan sebagainya.

Melihat pada kesan-kesan HIV inilah kerajaan Malaysia mengambil langkah selamat dengan mewajibkan pasangan Islam menjalani Ujian Saringan HIV bagi menjaga kemaslahatan anda dan pasangan di kemudian hari. Hal ini kerana, semua sudah tahu bahawa virus HIV ini boleh merebak kepada orang lain melalui beberapa cara. Antaranya adalah melalui persetubuhan, perkongsian jarum suntikan, penerimaan darah yang dijangkiti virus HIV dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, selain daripada melengkapkan prosedur permohonan perkahwinan ujian ini turut bertujuan membolehkan seseorang itu mengetahui status HIV masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Jika terdapat sesuatu yang meragukan tindakan segara boleh diambil bagi mengelakkan kesan buruk berlaku.


5 Langkah Ujian Saringan HIV Yang Perlu Anda Buat


1. Kenal Pasti Klinik Kesihatan/Hospital Terdekat

Untuk makluman anda, Ujian Saringan HIV hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan ataupun hospital kerajaan sahaja. Dan yang paling penting anda perlu menjalani ujian ini di negeri atau mengikut mukim masing-masing.

Sekiranya anda bekerja atau bermastautin di negeri lain terdapat beberapa tambahan prosedur yang perlu anda patuhi bagi membolehkan ujian ini diambil. Bagi memudahkan kerja anda dan pasangan, sila cari dan daftar dengan klinik kesihatan terdekat terlebih dahulu. Dan ambillah kesempatan ini untuk bertanya samada klinik tersebut ada menawarkan servis ujian HIV atau tidak. Jika perlu setkan tarikh temujanji.


2. Dokumen Yang Perlu Dibawa Ke Klinik/Hospital

Dokumen yang perlu dibawa semasa ujian ini diambil adalah kad pengenalan sahaja dan bayaran perkhidmatan yang dikenakan pula hanyalah RM1.

Murah je kan bila berurusan dengan pusat perubatan kerajaan Malaysia ni. Satu lagi, sekiranya anda berkahwin dengan warga asing sila pastikan pasangan anda membawa passport ke klinik untuk menjalani ujian saringan ini.


3. Lengkapkan Borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan

Apabila selesai daftar dan membuat pembayaran di kaunter, anda boleh mula melengkapkan borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan yang telah disediakan oleh pihak klinik.

Sekiranya anda menjalani ujian saringan ini di negeri lain sila muat turun borang ujian HIV (yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing). Apabila selesai anda akan diminta tunggu sebentar sementara nama anda dipanggil untuk menjalani ujian saringan tersebut.


4. Ujian Saringan HIV

Doktor atau MA akan menjalankan ujian saringan ini dengan menggunakan kaedah Rapid Kit Test. Darah akan diambil di hujung jari anda dengan menggunakan jarum lancet. Selepas itu anda akan diminta untuk tunggu sebentar kerana keputusan ujian ini kebiasaannya siap dalam masa 15 hingga 30 minit bergantung pada jenis kit yang digunakan oleh pihak klinik.


5. Keputusan Ujian Saringan HIV

Keputusan ujian saringan ini akan diberikan oleh pihak klinik pada hari yang sama. Keputusan boleh dilihat pada kit yang digunakan. Sekiranya terdapat single line pada kit ia bermaksud negative atau anda atau pasangan anda bebas daripada dijangkiti virus HIV.

Tetapi sekiranya keluar double line ia bermakna positif (reactive). Keputusan ini akan diberikan kepada anda untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Daerah masing-masing untuk langkah-langkah selanjutnya.


Soalan-Solan Lazim Mengenai Ujian Saringan HIV


Adakah Ujian Saringan HIV Boleh Dilakukan Di Klinik Swasta?

Seperti yang diterangkan di atas, Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan hanya boleh dilakukan di klinik atau hospital kerajaan sahaja. Ia bagi mengelak sebarang manipulasi ke atas keputusan ujian yang dijalankan.

 

Bagaimana Cara Buat Temujanji Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan Melalui MySejahtera?

  1. Buka apps MySejahtera
  2. Klik button “more”
  3. Klik “Digital Healthcare”
  4. Klik “Clinic Appointment Booking”
  5. Pilih untuk guna Qmed, Encoremed, BookDoc atau Sistem Temu Janji Klinik KKM.


Nak pilih sistem yang mana satu?

  • BookDoc – Perlis, Perak, Penang, Melaka, Kelantan, Sarawak & W. Persekutuan
  • Qmed – Selangor, Johor, Sabah, N9, Kelantan , Terengganu , Kedah & W. Persekutuan.
  • EncoreMed – Untuk di Kawasan KL sahaja iaitu ; KK Batu Muda, KK Jinjang,KK Petaling Bahagia, KK Sentul & KK Tanglin.
Cara Buat Temujanji Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan Melalui MySejahtera

 

Berapa Lama Tempoh Sah Ujian Saringan HIV Bagi Permohonan Perkahwinan?

Untuk makluman semua, Ujian Saringan HIV ini mempunyai tempoh sah laku iaitu selama 6 bulan bermula dari tarikh ujian tersebut dilakukan.

Bagi anda yang merancang untuk membuat permohanan perkahwinan sila pastikan tarikh perkahwinan anda tidak melebihi tempoh sah laku. Jika tidak anda terpaksa mengulangi ujian saringan ini buat kali kedua.


Bolehkah Ujian Saringan HIV Dilakukan Bersendirian Atau Bersama Pasangan?

Mungkin ada yang tertanya-tanya samada ujian ini boleh diambil secara berasingan atau perlu bersama pasangan? Jawapannya adalah dua-dua dibolehkan.

Bergantung kepada keselesaan anda atau perbincangan anda dan pasangan. Namun ujian ini diambil bersama pasangan pada kebiasaannya. Apa pun terpulang kepada anda.


Adakah Non-Muslim Diwajibkan Untuk Menjalani Ujian Ini?

Seperti sedia maklum, mengikut undang-undang dan peraturan di Malaysia hanya pasangan Muslim sahaja yang diwajibkan untuk menjalani ujian ini kerana perkahwinan pasangan Muslim tertakluk kepada undang-undang syariah.

Bagi pasangan Non-Muslim mereka berkahwin menggunakan undang-undang sivil jadi buat masa sekarang tiada lagi sebarang peruntukan undang-undang yang mewajibkan mereka mengambil Ujian Saringan HIV sebelum melangsungkan perkahwinan.


Apakah Yang Berlaku Sekiranya Keputusan Ujian Saringan HIV Adalah Reactive (positif)?

Bagi kes yang positif HIV mereka akan dirujuk ke Pakar Perubatan Keluarga atau Klinik Penyakit Berjangkit. Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesahan ataupun dipanggil confirmatory test.

Ujian pengesahan ini agak berbeza dengan ujian saringan kerana 5 ml darah akan diambil untuk dianalisis dan keputusan akan diberikan selepas 2 minggu. Bukan itu saja, mereka juga akan dipanggil ke Pejabat Agama bagi sesi kaunseling samada ingin meneruskan perkahwinan ataupun tidak.

Jika dilihat untuk melangsungkan perkahwinan di Malaysia agak rumit kerana prosedur bagi melengkapkan permohonan perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi dan kerjasama dari kedua-dua belah pihak.

Terutamanya apabila melibatkan prosedur Ujian Saringan HIV. Ada yang terpaksa ambil cuti semata-mata untuk menjalani ujian ini. Tetapi disebalik kepayahan dan kerumitan ini ada sesuatu yang bakal menguntungkan semua pihak.

Mungkin pada permulaannya anda akan berasa penat namun pada akhirnya anda boleh menarik nafas lega dan melangsungkan perkahwinan tanpa sebarang kerisauan terhadap keselamatan dan kesihatan di kemudian hari.


KESIMPULAN


Apa yang penting anda perlu berfikiran positif kerana peraturan yang ditetapkan bukanlah untuk membebankan masyarakat bahkan ia sebenarnya untuk menjaga dan mengelakkan daripada berlakunya sesuatu yang tak diingini. Bak kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.

Kami berharap dengan sedikit perkongsian mengenai Ujian Saringan HIV ini dapat membantu anda dan pasangan. Kami doakan agar segala persiapan perkahwinan anda berjalan lancar dan bahtera yang dilayar bersama sampai ke destinasi yang dituju.

Tags :
Planning
Translation missing: en.general.search.loading