Your cart is currently empty.

5 Langkah Ujian Saringan Hiv Pra Perkahwinan Yang Bakal Pengantin Perlu Tahu

August 2022 | Azhar Azmi

Dalam melengkapkan persiapan bagi sesebuah perkahwinan, terdapat beberapa frasa dan prosedur yang wajib dilakukan oleh kedua-dua bakal mempelai. Tak kiralah persiapan majlis ataupun proses permohonan pra perkahwinan semuanya harus diambil kira.

Jika tidak impian anda untuk bergelar raja sehari mungkin akan mengalami masaalah. Antara perkara wajib bagi permohonan perkahwinan di Malaysia adalah Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan. Ujian HIV ini harus dilakukan sebelum menyerahkan dokumen-dokumen permohanan perkahwinan di Jabatan Agama daerah masing-masing.

Di sini kami akan kongsikan panduan langkah demi langkah untuk menjalani Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan. Kami juga menyertakan jawapan bagi soalan lazim berkaitan ujian ini untuk melancarkan urusan anda.

 

Apa Itu Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan?

Ujian Saringan Hiv Pra Perkahwinan Yang Bakal Pengantin Perlu Tahu

Definisi HIV

Bagi yang belum familiar pasti anda tertanya-tanya apa itu Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan bukan? Apakah prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia? dan kenapa setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani ujian ini?

HIV (Human Immunodeficiency Virus) adalah virus yang menyerang dan memusnahkan sistem imunisasi badan manusia, menyebabkan pesakit terdedah kepada jangkitan dan penyakit kronik seperti AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome).

Melihat kepada risiko penularan yang tinggi melalui persetubuhan, perkongsian jarum suntikan, dan pemindahan darah, Kerajaan Malaysia mewajibkan Ujian Saringan HIV bagi pasangan Islam atas dasar menjaga kemaslahatan umum (Maqasid Syariah).

Kepentingan Ujian

  • • Memenuhi Syarat Permohonan Nikah: Melengkapkan dokumen wajib Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
  • • Mengetahui Status Kesihatan: Membolehkan setiap individu mengetahui status HIV masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
  • • Pengambilan Tindakan Awal: Jika keputusan adalah reaktif (positif), tindakan segera seperti rawatan dan kaunseling boleh diambil untuk mengelakkan penularan kepada pasangan dan anak-anak.

 

5 Langkah Ujian Saringan Hiv Pra Perkahwinan Yang Bakal Pengantin Perlu Tahu

Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan ini adalah proses yang mudah dan pantas.

 
1. Kenal Pasti & Daftar di Klinik Kesihatan Kerajaan Terdekat

Ujian Saringan HIV hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan sahaja.

  • • Tempat Ujian: Wajib dijalankan di Klinik Kesihatan mengikut negeri atau mukim permohonan perkahwinan.
  • • Prosedur Tambahan: Sekiranya anda bekerja atau bermastautin di negeri lain, anda mungkin perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti surat akuan mastautin.
  • • Tindakan: Hubungi atau layari laman sesawang Klinik Kesihatan terdekat untuk mengesahkan perkhidmatan ujian HIV dan menetapkan tarikh temujanji.


2. Dokumen dan Bayaran yang Diperlukan

Sila bawa dokumen wajib ini semasa hadir ke klinik:

  • • Dokumen: Kad Pengenalan (MyKad). Bagi pasangan warga asing, sila bawa Pasport.
  • • Bayaran: Caj perkhidmatan yang dikenakan di pusat perubatan kerajaan adalah sangat minimum, iaitu RM1.00 sahaja.


3. Lengkapkan Borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan

Setelah selesai mendaftar dan membuat pembayaran di kaunter, anda perlu melengkapkan Borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan yang disediakan.

Penting: Jika anda menjalani ujian di negeri lain daripada permohonan nikah, sila muat turun borang ujian HIV yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang berkaitan terlebih dahulu.

Untuk panduan lengkap tentang proses borang dan kursus pra-perkahwinan, rujuk: 👉 SPPIM: Cara Daftar Nikah & Kursus Pra-Perkahwinan Online


4. Proses Ujian Saringan HIV (Rapid Kit Test)

Doktor atau Penolong Pegawai Perubatan (MA) akan menjalankan ujian menggunakan kaedah Rapid Kit Test.

  • • Prosedur: Sampel darah akan diambil di hujung jari (menggunakan jarum lancet).
  • • Tempoh Keputusan: Anda akan diminta menunggu sebentar, kerana keputusan ujian ini kebiasaannya siap dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada jenis kit yang digunakan.


5. Keputusan Ujian Saringan HIV

Keputusan akan diberikan oleh pihak klinik pada hari yang sama.

  • • Negatif (Tidak Reaktif): Terdapat satu garisan (single line) pada kit. Bermakna anda atau pasangan bebas daripada dijangkiti virus HIV.
  • • Positif (Reaktif): Terdapat dua garisan (double line) pada kit. Keputusan ini memerlukan rujukan segera dan ujian pengesahan lanjut.


Soalan Lazim Mengenai Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan

 

Q1: Adakah Ujian Saringan HIV Boleh Dilakukan Di Klinik Swasta?

Jawapan: Tidak dibenarkan. Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan yang sah untuk permohonan nikah hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan sahaja. Ini bertujuan mengelak sebarang manipulasi ke atas keputusan ujian.

 

Q2: Bagaimana Cara Membuat Temujanji Ujian Saringan HIV?

Jawapan: Anda boleh membuat temujanji melalui beberapa aplikasi dan sistem, bergantung kepada lokasi negeri anda:

  1. Buka apps MySejahtera
  2. Klik button “more”
  3. Klik “Digital Healthcare”
  4. Klik “Clinic Appointment Booking”
  5. Pilih untuk guna Qmed, Encoremed, BookDoc atau Sistem Temu Janji Klinik KKM.


Nak pilih sistem yang mana satu?

  • • BookDoc – Perlis, Perak, Penang, Melaka, Kelantan, Sarawak & W. Persekutuan
  • • Qmed – Selangor, Johor, Sabah, N9, Kelantan , Terengganu , Kedah & W. Persekutuan.
  • • EncoreMed – Untuk di Kawasan KL sahaja iaitu ; KK Batu Muda, KK Jinjang,KK Petaling Bahagia, KK Sentul & KK Tanglin.
Cara Buat Temujanji Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan Melalui MySejahtera

 


Q3: Berapa Lama Tempoh Sah Ujian Saringan HIV Bagi Permohonan Perkahwinan?

Jawapan: Tempoh sah laku ujian saringan HIV adalah selama 6 bulan dari tarikh ujian dijalankan. Pastikan tarikh pernikahan anda tidak melebihi tempoh sah laku ini, jika tidak, anda perlu mengulanginya.

 

Q4: Bolehkah Ujian Saringan HIV Dilakukan Bersendirian Atau Bersama Pasangan?

Jawapan: Dua-dua dibenarkan. Ujian boleh diambil secara berasingan atau bersama pasangan. Kebiasaannya, pasangan memilih untuk mengambil ujian bersama untuk melancarkan urusan dan berkongsi komitmen.

 

Q5: Adakah Pasangan Non-Muslim Diwajibkan Untuk Menjalani Ujian Ini?

Jawapan: Tidak wajib. Mengikut undang-undang di Malaysia, hanya pasangan Muslim yang diwajibkan menjalani ujian ini kerana perkahwinan mereka tertakluk kepada undang-undang syariah. Pasangan Non-Muslim tertakluk kepada undang-undang sivil (LRA 1976), yang buat masa ini tiada peruntukan wajib ujian HIV.

 

Q6: Apakah Yang Berlaku Sekiranya Keputusan Ujian Adalah Reaktif (Positif)?

Jawapan: Jika keputusan adalah reaktif (positif), tindakan berikut akan diambil:

  1. Rujukan Pakar: Anda akan dirujuk segera ke Pakar Perubatan Keluarga atau Klinik Penyakit Berjangkit.
  2. Ujian Pengesahan (Confirmatory Test): Ujian darah lebih terperinci (5 ml darah) akan dilakukan dan keputusannya akan keluar dalam masa kira-kira 2 minggu.
  3. Kaunseling Agama: Pasangan akan dipanggil ke Pejabat Agama untuk sesi kaunseling bagi membincangkan pilihan dan langkah selanjutnya, termasuk sama ada ingin meneruskan perkahwinan ataupun tidak.

Rujuk panduan kami untuk mendapatkan petunjuk yang tenang dalam semua keputusan besar perkahwinan: 👉 Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah dan Ringkas


KESIMPULAN

Walaupun prosedur Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan memerlukan komitmen masa dan kerjasama tinggi, terutamanya jika anda perlu mengambil cuti, ia adalah satu langkah pencegahan yang kritikal. Peraturan yang ditetapkan ini bukanlah untuk membebankan, tetapi untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kedua-dua pihak. Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”.

Semoga panduan ini dapat melancarkan segala urusan permohonan perkahwinan anda dan pasangan. Kami doakan agar bahtera rumahtangga yang dilayari sentiasa diberkati dan sihat.

Tags :
Planning
Translation missing: en.general.search.loading